Berita Utama

Rakyat perlu cari formula bentuk kerajaan masa depan yang kuat

Politik semasa harus keluar dari kepompong pimpinan veteran

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Malaysia kini dihimpit dengan persoalan masa depan politik yang kritikal, kata Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Ketidaktentuan politik dan perebutan kuasa di kalangan veteran menyukarkan lagi keadaan serta menyebabkan kedudukan kerajaan ‘care taker’ iaitu Perikatan Nasional (PN) ketika ini sentiasa berdepan dengan ancaman dari pelbagai sudut.

Ustaz Abdullah Zaik menegaskan, rakyat perlu berganding bahu mencari formula untuk membentuk kerajaan masa depan yang jauh lebih kuat.

“Namun, apa yang jelas ia mestilah bukan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bahkan juga bukan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Malaysia memerlukan kebangkitan politik baharu,” tegasnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemelut melibatkan sokongan dan undian yang berlaku sewaktu bacaan Belanjawan 2021.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa 10 Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dengan menandatangani akuan bersumpah (SD).

Namun, kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, kelmarin yang melalui proses undian belah bahagi sekali gus menggagalkan cubaan pembangkang menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu, Ustaz Abdullah Zaik turut membangkitkan persoalan sama ada Malaysia dapat membentuk masa depan yang kuat dalam masa terdekat khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Atau adakah kita tetap kekal dalam keadaan terumbang ambing seperti ketika ini kerana kehilangan pemimpin berwibawa dan parti yang berintegriti dan kuat.

“Apa yang berlaku menimbulkan persoalan masa depan yang serius yang perlu difikir oleh rakyat mulai hari ini.

“Rakyat tidak boleh lagi terayun dengan buaian politik veteran ini. Perlu orak langkah bangunkan suasana politik baharu, di dekad yang baru ini,” tegasnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button