Berita Utama

Salahkah lantang bersuara setelah banyak hal dikompromi?

Bila PEMBELA langgar undang-undang sebagaimana pekebun haram dan Dong Jiao Zong yang diagung-agungkan?

BANGI, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Pelik! Boleh pula ada individu meminta Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) mencontohi Dong Jiao Zong yang kononnya lunak dan baik, sehingga kerajaan meraikan mereka.

“Apakah benar pendekatan Dong Zong lunak dan baik? Mungkin beliau tidak baca berita tentang keceluparan-keceluparan Dong Zong.

“…sehingga ada satu ketika mereka mahu membuat satu himpunan bantah tulisan Jawi secara besar-besaran..

“Mereka tidak menerima dasar pendidikan kebangsaan dan seringkali mengherdik-herdiknya sahaja dari 1960-an sehinggalah sekarang,” kata PEMBELA dalam satu kenyataan.

Dilaporkan, terdapat pengguna media sosial meminta PEMBELA mengubah strategi serta mencontohi pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong yang kononnya berbaik dengan kerajaan tidak kira dari parti mana yang memerintah.

Ia susulan tindakan PEMBELA yang kerap menghentam kerajaan Pahang pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipercayai berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian haram di Raub, Pahang.

PEMBELA menasihatkan supaya kenal dan selidik terlebih dahulu siapa dan apa agenda Dong Jiao Zong.

Jurucakap PEMBELA juga berkata, banyak lagi kelakuan kurang ajar pertubuhan Cina itu terhadap negara dan penolakan mereka terutamanya mengenai dasar-dasar pendidikan kebangsaan.

“PEMBELA tidak pernah menolak dasar-dasar kebangsaan, malah menyokong dan mahu memperkasakan lagi dasar-dasar kebangsaan yang menguatkan jati diri rakyat.

“Dalam kes Raub ini, kita sudah berlembut lama, iaitu sejak Ogos. Dan ketika waktu kita beri muka itu, banyak perkara yang dikompromi. Kini sudah lebih kurang empat bulan perkara ini tertangguh di mahkamah dan selepas 40 tahun mereka menjarah tanah secara haram.

“Dan itu adalah tanah kerajaan. Kerajaan negeri Pahang rugi berpuluh jutaan ringgit hasil cukai kerana perkara ini. Bukankah ini satu pembelaan dan sokongan terhadap kerajaan negeri Pahang?,” soalnya.

Gabungan ratusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu juga mempersoalkan sama ada tindakan mereka yang lantang bersuara itu salah meskipun telah banyak dikompromi.

“Beritahu kami, di mana kami melanggar undang-undang sebagaimana pekebun haram dan Dong Jiao Zong yang diagung-agungkan itu?

“Jangan jadi lembik. Sampai bila mahu jadi pak turut?,” soalnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan tarikh 23 Disember untuk keputusan kes pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.

Katanya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button