Berita Utama

Selangor lancar kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’

3,000 petugas barisan hadapan diberi baucar bernilai RM200

SHAH ALAM, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Selangor hari ini melancarkan kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ sebagai usaha merancakkan kembali industri pelancongan yang terjejas ekoran impak pandemik COVID-19 di negeri itu bermula Januari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi kempen itu, kerajaan negeri juga menawarkan subsidi baucar pelancongan berjumlah RM2 juta untuk dimanfaatkan 10,000 rakyat bagi memulihkan semula industri.

Beliau berkata, 3,000 petugas barisan hadapan di Selangor akan diberikan baucar pelancongan bernilai RM200 setiap satu sebagai menghargai jasa mereka memerangi pandemik COVID-19 manakala 7,000 lagi boleh dinikmati seluruh rakyat Malaysia.

“Industri pelancongan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Malaysia. Apabila ia terjejas, ekonomi negara turut menerima kesan langsung serta menjejaskan pendapatan penggiat sektor berkenaan.

“Sinergi berterusan antara kerajaan, penggiat industri pelancongan dan masyarakat wajar diperkemas untuk memastikan sektor pelancongan di Selangor mampu dihidupkan semula,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, pelakon Cik Puan Juliana Evans turut diperkenalkan sebagai duta kempen, di samping 17 pakej pelancongan hasil usaha sama antara Tourism Selangor dan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

Amirudin berkata, baucar pelancongan berkenaan akan diberikan kepada rakyat menerusi platform e-dagang Lazada serta e-dompet Touch ‘n Go bermula 8 hingga 31 Jan depan dan penggunaannya hanya sah di Selangor sahaja sehingga 30 Jun 2021.

Katanya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan kerajaan, Selangor pastinya menawarkan pelbagai pengalaman percutian yang unik untuk menarik kehadiran pelancong domestik dalam suasana norma baharu.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata kempen pelancongan berkenaan akan berlangsung selama enam bulan.

Beliau berkata pihaknya optimis sekurang-kurangnya lima juta pelancong domestik akan datang bercuti di Selangor berikutan baucar pelancongan itu diberikan tidak terhad kepada hanya penduduk Selangor sahaja.

“Memang kes COVID-19 di Selangor agak tinggi, namun ia sebenarnya tertumpu di tempat pekerja asing. Kawasan lain di negeri ini masih selamat untuk dinikmati,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button