Berita UtamaDunia

140 organisasi kritik OIC gagal pertahan Uyghur

OIC ada kewajipan kutuk kekejaman, perjuang hak umat Islam

JEDDAH, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sebanyak 140 organisasi menghantar surat mengkritik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana gagal mengecam rejim China yang bertindak kejam terhadap etnik Uyghur di Xinjiang.

Organisasi itu turut meminta OIC menggesa Beijing bertanggungjawab atas perlakuannya, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai genosid.

Dalam satu sidang media semalam, beberapa organisasi, ahli politik dan kumpulan hak asasi berkumpul untuk mendesak OIC bertindak tegas ke atas China yang melakukan penindasan ke atas etnik minoriti muslim.

“Surat hari ini kepada OIC mempunyai erti yang luar biasa. Hari ini, organisasi-organisasi muslim dari seluruh dunia telah sebulat suara dan bersatu untuk etnik Uyhur.

“Kami telah meminta OIC untuk bersuara selama lebih dari dua tahun.

“Piagam OIC merangkumi komitmen untuk menjaga hak, maruah, identiti agama, budaya masyarakat Islam dan etnik minoriti di negara-negara bukan anggota,” kata Ketua Kongres Uyghur Sedunia, Omer Kanat.

Surat itu dituju kepada OIC dan dihantar oleh Majlis Organisasi Muslim Amerika Syarikat sebagai salah satu wakilnya.

Dalam surat itu, gabungan organisasi itu berkata, OIC mempunyai kewajipan agama dan moral untuk mengutuk dan tidak menyokong kekejaman selain memperjuangkan hak-hak umat Islam di seluruh dunia, kerana jutaan etnik Uyghur menderita di tanah air sendiri.

Seramai 10 juta etnik Uyghur tinggal di wilayah Xinjiang atau Turkistan Timur. Sekurang-kurangnya sejuta daripada mereka ditahan di kem tahanan yang ketat.

Sementara itu, aktivis Uyghur yang melarikan diri dari China berkata, Beijing sedang berusaha menghapuskan ajaran Islam dengan memusnahkan masjid serta melarang amal ibadah termasuk berpuasa pada bulan Ramadan.

Media antarabangsa juga melaporkan bahawa rejim China berusaha mengurangkan kadar kelahiran etnik Uyghur melalui pengguguran janin dan pemandulan secara paksa. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button