60,000 jururawat dijangkiti COVID-19 di Iran
Iran berdepan risiko kurang jururawat untuk merawat pesakit

TEHRAN, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Iran, semalam mengatakan bahawa sekitar 60,000 jururawat di seluruh negara telah dijangkiti virus COVID-19, manakala 100 daripada mereka kehilangan nyawa, lapor Anadolu Agency.
Menurut agensi berita ISNA Iran, Ketua Persatuan Jururawat, Mohammad Mirzabeigi mengatakan bahawa daripada 145,000 jururawat di seluruh negara, sekitar 60,000 telah dijangkiti novel coronavirus.
“Pada masa ini, terdapat 6,000 jururawat di pusat kuarantin, sementara jumlah kematian (di antara jururawat) telah mencapai 100,” kata Mirzabeigi.
Beliau berkata, masalah yang paling kritikal dalam komuniti ketika ini adalah kekurangan tenaga kerja.
“Kerana hanya ada 145,000 jururawat untuk 170,000 katil hospital; korelasi 0.8. Manakala standard adalah 2.5 jururawat setiap katil.
Oleh itu, bilangan jururawat yang bekerja mesti meningkat 2.5 kali ganda agar kita mencapai keadaan standard.
“Sekiranya jumlah katil terus meningkat dan jururawat berhenti tanpa ada pengganti, kekurangan jururawat di Iran akan meningkat dan ini akan merisikokan pesakit lebih daripada orang lain,” katanya.
Sejak kes pertama dilaporkan pada 19 Februari, jumlah jangkitan coronavirus di Iran telah mencapai 1,138,550 dengan 53,093 kematian. – Agensi