Berita UtamaPendapat

Atasi masalah lompat parti

Adakan sistem baharu benarkan rakyat undi bagi pilih parti

PADA dasarnya sesiapa pun bebas untuk masuk dan keluar mana-mana parti atau pertubuhan. Kebebasan ini termasuk dalam hak berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, apabila hak dan kebebasan ini disalahguna, maka mekanisme kawalan perlu dibuat.

Misalnya, apabila seorang wakil rakyat yang dipilih atas logo sebuah parti mengambil tindakan keluar dari parti tersebut, maka tindakan itu pada dasarnya bukan satu tindakan yang baik.

Dalam bahasa mudah kita namakannya sebagai ‘lompat parti’ atau ‘party hopping’.

Kenapa lompat parti bukan sesuatu yang baik?

Pertama, dari sudut mandat yang diberikan oleh pengundi sewaktu pilihan raya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa dorongan yang paling dominan bagi seseorang pengundi membuat pilihan adalah faktor parti, bukannya individu calon.

Jadi, apabila seseorang wakil rakyat itu bertukar parti, maka ia telah dianggap mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat.

Kedua, dari sudut kepercayaan parti. Seseorang dipilih untuk bertanding atas kepercayaan yang diberikan oleh parti dan ahli-ahlinya.

Sewaktu tempoh kempen, beliau disokong oleh jentera parti dengan sumbangan tenaga manusia, masa dan wang.

Oleh itu, tindakan lompat parti adalah satu bentuk pengkhianatan kepada parti dan rakan-rakan pemimpin parti, ahli-ahlinya.

Ketiga, budaya lompat parti boleh mendorong kepada ketidakstabilan politik. Buktinya jelas kelihatan dalam perkembangan politik semasa.

Persoalannya, bagaimana kita boleh menghalang budaya lompat parti ini?

Jika kita benar-benar ingin menamatkan budaya ini, kita tidak perlu menghalang wakil rakyat lompat parti, kerana halangan berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan.

Cara yang lebih mudah ialah dengan mengubah sistem pilihan raya.

Jika sekarang rakyat keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka sistem yang baharu ialah mengundi untuk memilih parti.

Manakala, parti diberi kebebasan untuk menentukan siapakah wakil rakyat yang ingin dinamakan.

Jika wakil rakyat itu keluar parti, hilang keupayaan atau mati, maka parti akan menamakan tokoh lain tanpa perlu pilihan raya kecil.

Apa pendapat anda?

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button