Genap 2 tahun pemergian Adib, perjuangan tetap diteruskan
Penjenayah mesti dibawa ke muka pengadilan, jangan sembunyi

BANGI, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Meskipun genap dua tahun pemergian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, perjuangan mencari kebenaran di sebalik punca kematiannya tidak akan terhenti.
Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, keadilan harus ditegakkan dengan membawa pembunuhnya ke muka pengadilan.
“Genap dua tahun perginya Muhammad Adib, seorang pejuang yang gugur untuk agama dan negara.
“Moga-moga ronya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan di kalangan para syuhada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mendoakan supaya pengorbanan Allahyarham dan perjuangan keluarganya terus terbela.
“Penjenayah yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan, dan tidak disembunyikan atas apa jua sebab!,” katanya lagi.
Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).