Berita Utama

JPJ keluarkan 707 saman dalam masa 2 jam

Pemandu diingat jangan letak kayu penyendal di bawah treler

BUKIT MERTAJAM, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sebanyak 707 notis saman pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam tempoh dua jam, menerusi Ops Halangan yang dijalankan di kedua-dua arah Plaza Tol Juru, di sini malam tadi.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata dalam operasi bermula pukul 8 malam itu, sebanyak 2,080 kenderaan persendirian dan kenderaan perdagangan terutama lori serta treler, diperiksa.

“Operasi malam ini lebih tertumpu kepada lori dan treler yang membawa kayu penyendal, yang kebiasaannya dibawa pemandu bertujuan untuk disendal pada tayar kenderaan yang berhenti, terutamanya di kawasan berbukit dan jalan tidak rata, namun sebenarnya ia berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan itu, kami mahu ingatkan pemandu supaya jangan letak kayu penyendal di bawah treler, kerana ia boleh terpelanting atau terjatuh semasa kenderaan membelok, ini akan merisikokan pengguna lain yang akan terlanggar halangan atas jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi.

Katanya sebanyak 65 notis saman membabitkan kesalahan kayu penyendal dikeluarkan, terhadap pemandu kenderaan perdagangan dalam operasi itu.

“Selain itu pihak JPJ turut dikeluarkan saman membabitkan kesalahan cermin gelap sebanyak 229 saman, tayar haus (47 saman) serta kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik (35 saman), manakala lapan pemandu turut dikesan positif dadah,” katanya.

Seramai 120 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuklah JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) terlibat dalam operasi itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button