Berita Utama

Lapan IPT capai taraf 6 bintang

Penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator dengan empat fungsi utama

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Lapan institut pengajian tinggi (IPT) mencapai taraf enam bintang yang dinilai mengikut sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) bagi tahun 2018/2019.

Universiti yang tersenarai ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, sebanyak 30 IPT lagi mendapat penarafan lima bintang, 30 IPT (empat bintang), 15 IPT (tiga bintang), dua IPT (dua bintang) dan sebuah IPT mendapat penarafan satu bintang. 

Katanya, penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator yang merangkumi empat fungsi teras utama iaitu umum, pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan perkhidmatan.

Sementara itu, bagi penarafan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) pula, katanya, sebanyak 14 kolej swasta berjaya mencapai penarafan enam bintang.

Ia adalah Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej  Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi  Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej SEGi Pulau Pinang dan Kolej Antarabangsa Putra.

Selain itu, Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej SEGi Sarawak, Kolej IBS, Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institut Antarabangsa Sains Mantin yang turut termasuk dalam penarafan enam bintang tersebut. 

“Ini diikuti sebanyak 54 kolej mendapat penarafan lima bintang, 88 kolej mencapai empat bintang, 40 kolej dengan tiga bintang dan 11 kolej diberi penarafan dua bintang,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini berkata, kementerian akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan ke atas SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem pendidikan tinggi negara. 

Katanya, penyesuaian tersebut akan mengambil kira pembudayaan norma baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan, Teknologi Pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan.  

“Penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2022,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button