Operasi feri Pulau Pinang diteruskan: Tengku Zafrul
Kerajaan peruntuk RM30 juta kepada PSBB ambil alih perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Perkhidmatan Feri Pulau Pinang yang ikonik akan terus beroperasi, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata, syarat ini akan dikenakan sesuai dengan peruntukan RM30 juta yang diluluskan bagi Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mengambil alih perkhidmatan feri.
“Saya dapat mengesahkan bahawa peruntukan akan dibuat dalam dua pembayaran. Pembayaran pertama sebanyak RM15 juta akan dibuat pada tahun 2021 dan telah dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.
“Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya.
Pada hari Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng mengatakan feri lama akan berhenti beroperasi pada tahun 2022 dan digantikan dengan bas air dan pengangkutan kenderaan.
PPSB akan mengambil alih perkhidmatan feri dari Prasarana Malaysia Bhd pada 1 Januari dan hanya akan menggunakan bot penumpang laju antara terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda.
Salah satu feri yang ada akan digunakan untuk mengangkut basikal dan motosikal.
Bagaimanapun, terdapat gesaan daripada beberapa pihak untuk membenarkan feri ikonik itu untuk meneruskan perkhidmatannya.
Kira-kira 1.3 juta penumpang dan 240,000 kenderaan menggunakan feri setiap tahun.