Berita Utama

Sukan bola sepak Piala Malaysia dibenarkan mulai Januari

Kehadiran penonton masih tertakluk kepada status negeri

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Penantian peminat sukan bola sepak tanah air berakhir apabila kerajaan memutuskan untuk membenarkan penganjuran sukan nombor satu negara itu temasuk Piala Malaysia bermula Januari tahun hadapan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas meneliti cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada jawatankuasa teknikal semalam.

“Perlawanan bola sepak Piala Malaysia dibenarkan bermula Januari 2021,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan berkata pihaknya membentangkan SOP gelembung sukan sebagai usaha ‘menghidupkan’ semula perlawanan bola sepak di negara ini yang terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kehadiran penonton adalah tertakluk kepada status negeri sama ada dikenakan PKPP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, negeri yang dikenakan PKPP, jumlah kehadiran penonton dihadkan 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 4,000 orang.

“Bagi negeri PKPB, perlawanan adalah tanpa kehadiran penonton manakala bagi kawasan PKPD perlawanan tidak dibenarkan,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai penganjuran kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, penyertaan bagi negara-negara berisiko tinggi tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran JIM.

“Penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa khususnya ke negara berisiko tinggi juga perlu mendapat kebenaran JIM.

“Bagi aktiviti sukan bersentuhan, peserta perlu menjalani ujian saringan dan disahkan negatif sebelum dibenarkan menyertai aktiviti dan acara tersebut,” katanya menambah SOP terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang KBS dan juga MKN. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button