Berita Utama

COVID-19: 1,153 kes baharu hari ini

Selangor kekal catat kes harian tertinggi di negara

KUALA LUMPUR, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan empat digit apabila 1,153 kes baharu direkodkan hari ini dan Selangor kekal melaporkan kes baharu tertinggi dengan 401 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 91,969 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 15,294 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,151 kes,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kes harian baharu sebanyak 281 kes dan diikuti Sabah dengan 199 kes.

“Sebanyak 176 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan Kluster Tembok (80 kes),” katanya.

Sementara itu, pertambahan satu kes kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 433 kes iaitu 0.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian itu melibatkan wanita warga tempatan berusia 76 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi dan dislipidemia yang meninggal dunia di Pulau Pinang.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan dalam tempoh 24 jam lepas, terdapat 112 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 56 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button