Berita Utama

Kerajaan meterai satu lagi perjanjian dengan pembekal vaksin dari UK

Vaksin dijangka tiba suku pertama tahun 2021: Dr Adham

KUALA LUMPUR, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Kerajaan akan memeterai satu lagi perjanjian bersama pihak pembekal vaksin COVID-19 iaitu dari United Kingdom (UK), AstraZeneca-Oxford.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perjanjian yang akan dimeterai pada Isnin ini dijangka boleh memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus rakyat Malaysia.

Justeru, katanya, perjanjian itu menyaksikan negara kini mempunyai 50 peratus keperluan vaksin, termasuk dengan Pfizer dan COVAX.

“Sebelum ini, kita telah menandatangani perjanjian bersama syarikat farmaseutikal, Pfizer untuk keperluan 20 peratus manakala COVAX pula untuk 10 peratus. Ditambah dengan AstraZeneca-Oxford menjadikan jumlah keseluruhan 50 peratus ketika ini.

“Oleh demikian, kita memerlukan lagi 20 peratus untuk memenuhi keperluan 70 peratus vaksin rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Adham sepeti dilapor Utusan berkata, kementerian sedang meneliti untuk menarik lagi pengeluar vaksin bagi mencukupi keperluan ini.

Beliau berkata, bekalan vaksin dijangka tiba di negara pada suku pertama 2021 dan petugas barisan hadapan bakal menjadi pihak pertama divaksin. 

Sebelum ini, kerajaan menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin COVID-19.

Pada 22 November lalu, Malaysia juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button