Berita Utama

Masih banyak kes ceroboh seperti di Raub di pandang sepi? : PEMBELA

Keputusan 23 Disember tentukan sama ada pekebun haram dihalau atau tak

BANGI, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Walau apa pun keputusan mahkamah berkaitan kes pencerobohan di Raub, tanah-tanah di serata negeri Pahang masih berada dalam keadaan bahaya.

Hal ini kerana isu pencerobohan tanah untuk tanaman durian Musang King di Raub hanyalah sebahagian daripada banyak kes yang berlaku namun dipandang sepi.

Oleh yang demikian, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengajak orang Melayu khususnya untuk ambil berat tentang hal ini dan hadir memberikan sokongan menantikan keputusan mahkamah pada 23 Disember ini.

“Empat hari lagi menjelang keputusan mahkamah untuk kes pencerobohan tanah di Raub (isu Musang King) setelah tertangguh sejak bulan Ogos lagi.

“Apa-apa pun, keputusan ini akan menentukan sama ada pekebun haram itu boleh terus menanam dan mengaut hasil durian Musang King itu atau tidak. Dengan kata lain, apakah mereka akan dihalau atau tidak.

“Rakyat Pahang yang berkelapangan boleh sama-sama hadir ke mahkamah dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

9 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan tarikh 23 Disember untuk keputusan kes pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.

Menurutnya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button