Berita UtamaDunia

Qatar mahu Taliban contohi sistem perundangan Islam sebenar

Bukannya kekal dengan sistem pentadbiran yang lemah dan mundur

DOHA, 24 Safar 1443H, Jumaat – Taliban digesa mencontohi kepimpinan Qatar yang mengamalkan sistem perundangan Islam sebenar dan tidak mengenepikan hak-hak wanita.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menegaskan, tindakan Taliban tidak membenarkan pelajar perempuan ke sekolah disifatkan sebagai sangat mengecewakan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengharaman Taliban yang tidak membenarkan pelajar perempuan di peringkat menengah meneruskan pengajian ke sekolah, seminggu selepas pengambil alihan pentadbiran Afghanistan.

“Tindakan yang berlaku di Afghanistan sangat menyedihkan dan dilihat sebagai langkah mundur.

“Kita semua perlu mendekati Taliban dan gesa untuk tidak meneruskan langkah ini selain menunjukkan cara terbaik dalam mengendalikan undang-undang Islam yang sebenar,” katanya sambil merujuk Qatar yang mengamalkan sistem perundangan Islam.

Malah, Qatar tegasnya turut memiliki jumlah tenaga kerja wanita lebih ramai dalam sektor kerajaan dan pengajian tinggi berbanding lelaki.

Terbaharu, Taliban didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia apabila mempamerkan empat mayat lelaki dengan menggantungnya di kawasan awam selepas dipercayai terlibat dengan penculikan.

Tindakan berkenaan, dilihat menyerupai peraturan Taliban dalam mengendalikan perundangan dari tahun 1996 hingga 2001.

Dalam masa sama, Sheikh Mohammed menggesa masyarakat antarabangsa terus memberi perhatian kepada negara itu dan tidak membiarkan tindakan berkenaan sehingga menyebabkan rakyat terus menderita dan tertekan.

Katanya, pihaknya berharap Taliban dapat mengubah perundangan yang ditetapkan.

Selain berharap Qatar dapat mempengaruhi Taliban sekali gus mendorongnya memperbaiki tindakan terhadap rakyat di sana. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button