Berita Utama

Pemerintah Arab Saudi pecat 100 imam, pendakwah Islam

Gagal kutuk Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas

RIYADH, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Pemerintah Arab Saudi bertindak memecat 100 orang imam dan pendakwah Islam kerana kegagalan mengutuk Ikhwanul Muslimin, seperti diperintahkan.

Akhbar al-Watan melaporkan, imam dan pendakwah terbabit sebelum ini telah memberi khutbah di masjid-masjid di Makkah dan al-Qassim.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan mengeluarkan arahan untuk semua imam dan pendakwah untuk mengkritik Ikhwanul Muslimin, selain menyalahkan mereka kerana menyebabkan perbezaan pendapat dan perpecahan dalam masyarakat.

Bulan lalu, kementerian memerintahkan para pendakwah mengadakan khutbah Jumaat dengan menyokong kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, di mana dewan berkenaan menyifatkan kumpulan itu sebagai organisasi ‘pengganas’, yang tidak mewakili ajaran Islam sebenar, tetapi lebih ke arah  kepartian.

Terdahulu, Arab Saudi secara rasmi mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas pada 2014 serta melarang sebarang aktivitinya di negara itu.

Pada 1950-an, Arab Saudi memberi perlindungan kepada ribuan aktivis Ikhwanul Muslimin yang menghadapi hukuman penjara dan penindasan di beberapa negara termasuk Syria dan Mesir.

Justeru, kumpulan itu sekali gus telah mendapat pengaruh di dalam kerajaan.

Pergolakan hubungan berlaku setelah pencerobohan Iraq pada 1990 oleh Kuwait dan pembabitan Arab Saudi dalam pencerobohan pimpinan Amerika Syarikat (AS) pada 2003 ke atas Iraq.

Ikhwanul Muslimin secara terbuka mengkritik kehadiran tentera AS dan sekutunya dalam mencari reformasi politik.

Pihak berkuasa menyalahkan gerakan itu kerana menaburkan perbezaan pendapat dan pada 2002, menteri dalam negeri berkata, Ikhawanul Muslimin adalah sumber semua kejahatan dalam kerajaan.

Pada 2013, Arab Saudi menyokong rampasan kuasa tentera di Mesir yang menyaksikan Menteri Pertahanan ketika itu, Abdel Fattah Al-Sisi menggulingkan Presiden pertama negara itu yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi-yang juga berasal dari Ikhwanul Muslimin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button