Berita Utama

Penganjuran Grand Final Gala Night dibantah

Program bersifat eksploitasi wanita, subur budaya hedonistik

KUALA LUMPUR, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang bakal berlangsung pada 2 Januari tahun hadapan di sebuah hotel di ibu negara.

Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan berkata pihaknya akan menghantar memo bantahan secara rasmi kepada penganjur dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu pada Isnin depan.

“Program itu bersifat eksploitasi terhadap wanita dan bersifat penyuburan kepada budaya hedonistik oleh tamadun yang telah pupus.

“Tambahan pula dalam keadaan pandemik COVID-19, sebarang bentuk perhimpunan tidak mendesak harus dielakkan kerana berisiko menularkan jangkitan virus itu walaupun jaminan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata pihaknya menyeru kerajaan supaya mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan program itu tidak dilaksanakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button