Berita UtamaPendapat

Pertubuhan dakwah Islam perlu tolak budaya kerja ‘runcit-runcit’

Kerja berorientasi objektif, berstruktur di samping disiplin tinggi

HARI ini saya ingin menulis berkenaan satu budaya negatif yang terkena kepada sebahagian pertubuhan dakwah Islam; iaitu budaya kerja runcit-runcit.

Bukan untuk menafikan segala sumbangan baik yang telah disumbangkan oleh banyak pertubuhan dakwah Islam, tapi sebagai satu muhasabah agar kita sama-sama melonjakkan amal jauh ke depan.

Sebahagian besar pertubuhan dakwah Islam di Malaysia hari ini bergerak dengan mungkin 90 peratus lebih tenaga sukarelawan tanpa gaji.

Bahkan, pertubuhan dakwah yang ditubuhkan oleh kerajaan juga akan menggunakan tenaga sukarelawan atau sekurang-kurangnya menggunakan pendekatan kerjasama dengan pertubuhan dakwah bukan kerajaan yang digerakkan oleh sukarelawan.

Hasil kerjanya sudah tentulah boleh dijangkakan.

Benar, mesej dakwah sampai juga kepada masyarakat tetapi untuk bersaing dengan gerakan liberal sudah tentulah tidak sepadan.

Kalaulah bukan disebabkan oleh masyarakat kita masih kuat berpegang dengan Islam hasil didikan lama, sudah tentu masyarakat Islam kita runtuh.

Tetapi, dengan kira-kira kekuatan seumpama ini, kita tidak pasti berapa lama masyarakat Islam akan mampu bertahan.

Budaya kerja runcit-runcit adalah budaya tidak sihat yang tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Kita akan kepenatan, kesibukan atau dilihat sibuk tapi hasilnya berpusing pada putaran yang sama.

Orang kata, umpama berlari di atas kapal berlabuh yang besar. Badan letih, kapal tak bergerak ke mana-mana.

Duit habis, tenaga habis, umur meningkat tua namun umat Islam masih di takuk lama.

Kalau kita benar-benar serius dalam dakwah dan islah, perkara pertama yang akan kita lakukan sudah tentulah berfikir sehabis mungkin untuk menghuraikan apa sebenarnya yang umat Islam hadapi ketika ini.

Namun, malangnya, bab ini pun ramai pendakwah yang melakukan budaya kerja runcit-runcit.

Saya teringat satu cerita seorang pemilik kapal yang dikenakan caj tinggi oleh seorang tukang kapal.

Kapalnya rosak dan dia tidak mengetahui bahagian kapal yang rosak.

Tukang kapal datang dan membaiki dengan hanya sebatang paku, tetapi cajnya tinggi.

Apabila ditanya mengapa cajnya tinggi, sedangkan modalnya hanya sebatang paku, jawabnya yang mahal itu adalah usaha mencari di mana mahu diletakkan paku.

Begitulah permulaan usaha membaiki umat Islam ini.

Mencari di mana puncanya perlukan satu usaha memikir dan perbincangan yang tulus.

Menyenaraikan siapa musuhnya juga memerlukan satu siasatan yang mendalam dan panjang.

Melakarkan langkah demi langkah pembaikan di atas kertas juga memerlukan renungan yang tajam dan teliti.

Sejarah kejatuhan khalifah Islam Uthmaniah menunjukkan pentingnya analisa situasi dan permasalahan sebenar ini dilakukan dengan teliti.

Ketika ramai pemimpin dunia Islam memandangnya sebagai masalah mudah; sekali perhimpunan pemimpin Islam sahaja sudah cukup untuk melantik pemimpin dunia Islam yang baru, menurut mereka.

Akhirnya apa yang berlaku adalah dua kali perhimpunan pemimpin Islam tidak mampu untuk mencapai kata sepakat melantik pemimpin (khalifah) baru.

Hal ini kerana masalah sebenarnya bukan disebabkan Sultan Abd Hamid digulingkan.

Namun, masalah yang lebih dalam disebut oleh Thaqif Arsalan, pemikir Islam ketika itu: “Tidak boleh tidak, kita mesti membina asas dari bawah semula.”

Negara-negara Islam sudah hancur. Kesatuan Islam sudah tidak lagi berlaku. Kesetiaan sebahagian umat Islam kepada Barat sudah mula subur.

Begitu juga jika kita serius dalam dakwah dan islah, sudah tentulah kita akan bersungguh-sungguh mengusahakan kesatuan umat Islam.

Atas apa juga harga, kesatuan umat Islam adalah kunci kepada segala kejayaan.

Pertubuhan-pertubuhan dakwah Islam misalnya melancarkan kempen Buy Muslims’ First (BMF), menubuhkan Malakat Mall dan sebagainya.

Rantaian bekalan adalah kunci kepada kejayaan usaha ini untuk jangka panjang.

Tetapi, bagaimana rantaian bekalan dapat kita kuasai jika umat Islam tidak bersatu?

Kita juga melaungkan kuasa politik Melayu Islam melalui pelbagai pakatan.

Tapi sejauhmana usaha penyatuan umat diusahakan untuk mencapai kuasa politik tersebut?

Kesatuan umat bukan satu matlamat yang boleh dicapai dengan kerja runcit-runcit.

Lihatlah Rand Corp sebagai contoh, satu badan yang bertanggungjawab dalam melakukan kajian terhadap keselamatan Amerika.

Pada 2007, mereka menghasilkan kajian bertajuk Building Muslim Moderate Network.

Intipatinya antaranya adalah bagaimana mereka mengkaji pecahan umat Islam dan bagaimana untuk memanipulasi setiap kumpulan demi keselamatan dalaman Amerika.

Usaha untuk memecahkan pecahan umat Islam yang telah sedia terpecah pun memerlukan dana dan usaha badan sebesar Rand Corp, apatah usaha untuk menyatukan umat.

Pertubuhan-pertubuhan Islam perlu dibawa memahami saiz pertarungan sebenar.

Kalau kita nampak musuh kecil, kita tidak akan bersiap bersungguh untuk lawan.

Tapi kalaulah kita nampak saiz sebenar musuh saingan kita, barulah kita akan buat latihan dan persediaan yang setanding.

Bagi tempoh jangka panjang, pertubuhan-pertubuhan Islam perlu merancang ke arah kemampuan kewangan yang kuat untuk mendapatkan tenaga-tenaga sepenuh masa seramai mungkin dengan kualiti yang berpadanan dengan persaingan.

Budaya kerja yang tersusun dan berstruktur juga perlu dibuat, di samping disiplin kerja yang tinggi.

Kerja berorientasikan objektif mesti dijadikan sebagai budaya dalam pertubuhan. Bukan lagi susun altiviti sekadar memenuhi taqwim tahunan.

Akhirnya, kita perlu ubah budaya kerja umat ini. Tinggalkan budaya kerja runcit-runcit kerana ia tidak akan membawa umat ini ke mana-mana.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button