Berita UtamaDunia

Puluhan penunjuk perasaan Palestin dibedil gas pemedih mata

Serangan rejin Zionis sebabkan penduduk mengalami sesak nafas

QALQILIA, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Puluhan rakyat Palestin mengalami sesak nafas ketika tunjuk perasaan antipenempatan mingguan semalam, berikutan serangan rejim pengganas Israel.

Kejadian berkenaan berlaku di kampung Kufr Qaddoum di Tebing Barat diduduki.

Menurut sumber, serangan itu dilakukan ketika warga Palestin berkenaan melakukan tunjuk perasaan bagi memprotes penutupan jalan utama Israel, yang menghubungkan kampung Kufr Qaddoum dengan bandar Nablus sejak 2003.

Dalam serangan itu, rejim pengganas Israel melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penunjuk perasaan serta rumah berdekatan, mengakibatkan mereka sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata.

Pada masa sama, penunjuk perasaan berjaya menembak jatuh dron Israel yang melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka.

“Sebelum tahun 2003, penduduk Kufr Qaddum akan menggunakan jalan yang lebih singkat ke timur untuk datang dan pergi ke kota dan desa berdekatan.

“Namun, ketika penempatan diperluas sehingga menyesakkan jalan, ia ditutup untuk penggunaan Palestin” kata Persatuan Hak Asasi Manusia Addameer.

Satu-satunya jalan alternatif terbabit kira-kira enam kali lebih jauh daripada laluan sebelumnya, mengganggu laluan penduduk kampung termasuk untuk ke universiti, tempat kerja serta aktiviti ekonomi mereka, kata Addameer.

Persatuan itu berkata, meskipun Jawatankuasa Penentangan Popular Kufr Qaddum membawa kes mereka ke Mahkamah Tinggi Israel pada tahun 2003, status undang-undang jalan itu tetap tidak berubah.

Setelah semua rayuan undang-undang gagal, penduduk kampung memutuskan untuk mengadakan demonstrasi mingguan pada bulan Julai 2011, langkah yang ditangani dengan penindasan kejam oleh rejim Zionis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button