Rakyat mahu PN ‘walk the talk’ selepas Belanjawan 2021 lulus
Kerajaan harus fikirkan jugs mekanisme tangani isu Melayu, Islam

BANGI, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat seharusnya menjadi mandat untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengotakan janjinya.
Ini kerana rakyat mahu melihat kerajaan melaksanakan prinsip ‘walk the talk’ atau cakap serupa bikin selepas pelbagai janji ditabur.
Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, perkara tersebut merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet.
“Kini selepas pembentangan di Parlimen, rakyat mahu melihat prinsip ‘walk the talk’ oleh pihak PN…memulakan azam dan tekad baru bagi memacu negara sehingga mencapai kejayaan ke tingkat yang lebih baik.
“Jelas sekali, PH (Pakatan Harapan) kini telah hancur dan tidak mampu berfungsi sebagai parti alternatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Rashidi berharap kerajaan dapat memikirkan mekanisme terbaik bagi menangani isu harta dan aset berkepentingan orang Melayu serta Islam.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan perlu mengembalikan hak agensi-agensi tertentu beserta pegawai kontrak yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka, atas alasan kononnya fungsi agensi tidak lagi relevan kerana negara bakal berhutang RM1 trilion.
“Malah, kerajaan juga disaran menilai semula kepentingan strategiknya di samping menawarkan semula jawatan selayaknya, sekurang-kurangnya dalam tempoh pandemik yang amat mencabar ini,” katanya lagi.
Belanjawan pertama kerajaan PN diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.