Berita Utama

Syarikat pembuatan perlu segera kuasai teknologi pemakanan

Bagi memastikan bekalan negara ini sentiasa mencukupi

BANGI, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Syarikat pembuatan dan pengilangan di Malaysia perlu segera menguasai teknologi pemakanan yang canggih sesuai dengan piawaian antarabangsa.

Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor, Ir Dr Muhidin Arifin berkata, perkara itu penting bagi memastikan bekalan di negara ini sentiasa mencukupi.

Malah, beliau turut mengesyorkan bahawa kerajaan wajar segera menubuhkan Tabung Penyelidikan Canggih COVID-19 bagi memastikan lebih ramai penyelidik di institut pengajian tinggi melakukan lebih banyak kajian mengenai penghasilan pemakanan menerusi teknologi canggih.

“Ia bagi memastikan bekalan makanan bukannya satu isu yang menimbulkan kegelisahan kepada penduduk dunia,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhidin berkata, insiden pembelian panik ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu mengakibatkan ada yang menghabiskan masa lebih enam jam di pasar raya untuk membeli makanan.

Malah, katanya, ada yang menjangkakan perintah darurat akan diperkenalkan, sekali gus menyebabkan makanan tidak mudah diperoleh.

“Desas-desus tentang kesukaran untuk mendapatkan makanan sepanjang PKP menjadi berita ngeri kepada penduduk dunia ketika itu. Tidak dapat dinafikan sumber makanan memberi kelegaan kepada penduduk dunia sepanjang PKP atau lock down angkara COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan FoodNavigator-Asia pada 8 Disember lalu menyatakan kemungkinan COVID-19 dan penularannya melalui makanan seperti daging, tenusu, kacang-kacangan, buah dan sayuran yang berpotensi menjadi pembawa virus.

Katanya, meskipun banyak kajian dilakukan mengenai kesahihan perkara ini tetapi sehingga kini, tiada bukti kukuh bagi menyokong fakta berkenaan.

“Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan global melaporkan tidak ada bukti makanan atau pembungkusan makanan yang mampu menyebarkan COVID-19, walaupun China menemui virus tersebut pada kebanyakan makanan beku yang diimport daripada lebih 20 negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button