Berita Utama

360 tadika Kemas di Terengganu terjejas jika banjir besar

Kakitangan Kemas sudah pun membuat persiapan banjir

JERTIH, 20 Safar 1444H, Jumaat – Sebanyak 360 premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dikenal pasti berisiko terjejas teruk sekiranya berlaku banjir besar di Terengganu.

Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata bilangan itu adalah 40 peratus daripada jumlah 900 premis di Terengganu yang terletak di kawasan ‘hotspot’ banjir seperti di daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

“Bagaimanapun kakitangan Kemas di premis terbabit sudah bersedia dan telah membuat persiapan awal untuk menghadapi sekiranya berlaku banjir.

“Pegawai dan penyelia Kemas di setiap daerah telah menyenaraikan premis yang terdedah kepada risiko banjir dan saya sentiasa mengingatkan petugas agar memindahkan peralatan dan dokumen penting ke tempat selamat,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jom Masuk Kampung dan Festival Kesenian Islam Peringkat Negeri Terenganu 2022 di pekarangan Masjid Lapan Kubah, Kampung Lapan Kotak di sini hari ini.

Program tiga hari tersebut dirasmikan Pengerusi Felda yang juga Ahli Parlimen Besut Tan Sri Idris Jusoh.

Faridah berkata kebanyakan guru di premis terbabit sudah biasa dan pernah terlibat dengan banjir menyebabkan tugas membuat persiapan tidak begitu sulit.

“Sebelum ini kami membuat persiapan dengan memindahkan peralatan penting lebih awal, tetapi berikutan perubahan jadual pembelajaran atau persekolahan yang berjalan sehingga bulan Mac menyebabkan para guru perlu sentiasa peka kepada keadaan cuaca semasa terutama apabila tiba musim tengkujuh.

“Sekiranya tadika atau taska terpaksa ditutup akibat banjir, kanak-kanak dijangka akan belajar secara dalam talian dari rumah kerana usaha memindahkan mereka ke lokasi sementara lain akan banyak menimbulkan kesulitan,” katanya.

Sementara itu, mengenai Program Jom Masuk Kampung dan Festival Kesenian Islam Peringkat Negeri Terenganu 2022, beliau berkata pelbagai acara menarik disediakan kepada penduduk kampung oleh Kemas yang bertindak sebagai penyelia.

“Jelas wujud keserasian, kesepaduan dan kekeluargaan dalam program tiga hari bermula hari ini yang diisi dengan pelbagai acara seperti tilawah al-Quran, Pertandingan Daie Kemas, pertandingan nasyid, penyampaian cenderahati Ikon Warga Desa dan ziarah rumah penduduk,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button