Berita Utama

10 warga Cina dalang judi dalam talian ditangkap

Polis rampas 94 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba

BANGI, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Perjudian dalam talian didalangi warga China di sebuah rumah di Jalan Conlay, Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan selepas polis menahan 11 individu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dilakukan jam 2 pagi.

Katanya, dalam serbuan di dua bilik berasingan menahan 10 lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan enam lelaki dan merampas 94 telefon bimbit pelbagai jenama serta tiga komputer riba.

“Serbuan di bilik kedua jam 2.20 pagi menahan lima lelaki dan merampas 96 telefon bimbit pelbagai jenama serta dua komputer riba,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mohamad Zainal berkata, semua suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Suspek warga China direman empat hari bermula hari ini sehingga 23 Disember manakala suspek lelaki tempatan direman dua hari,” katanya.

Kes disiasat mengikut Sekyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Sekyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti perjudian dan jenayah supaya menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button