Berita Utama

Kartel daging haram: Penguatkuasaan mesti tegas, jangan biar kes berulang!

Gesa GLC beri kesedaran kempen Beli Produk Muslim

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor menggesa pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan isu kartel daging dengan label halal palsu, seperti yang berlaku di negeri itu tidak berulang.

Tindakan perlu dilaksanakan dengan lebih teliti untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa mahupun rasuah memandangkan hal ini melibatkan integriti dan ketelusan pihak berkuasa.

Yang Dipertua ISMA Johor, Ustaz Wan Mohd Azli Wan Ahmad turut menggesa kerajaan negeri menyiasat kemungkinan pembekal daging sejuk beku lain melakukan aktiviti serupa.

“Isu ini juga telah mempengaruhi kredibiliti logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Justeru, sudah tiba masanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memandang serius industri halal dan menggesa umat Islam untuk memiliki kesedaran yang lebih baik mengenai Kempen Beli Produk Muslim,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Sebelum ini, MAQIS Pulau Pinang juga dilaporkan merampas 13,651 kilogram (kg) daging kambing sejuk beku bernilai RM365,917 dari Australia yang dibawa masuk ke negara ini di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Berdasarkan pemeriksaan, MAQIS mendapati maklumat yang dikemukakan pada dokumen membawa kambing sejuk beku itu adalah tidak tepat dan mengelirukan serta tidak seperti yang dinyatakan pada syarat-syarat dalam permit import MAQIS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button