Berita Utama

COVID-19: Jumlah kes positif di HTAR, Hospital Serdang meningkat

Keadaan terkawal, punca jangkitan masih disiasat

SHAH ALAM, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Kes positif COVID-19 membabitkan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahiman (HTAR), Klang dan Hospital Serdang merekodkan pertambahan enam lagi kes hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, HTAR merekodkan empat kes positif COVID-19 membabitkan masing-masing dua kakitangan kesihatan dan pesakit manakala di Hospital Serdang pula pertambahan dua kes membabitkan kakitangan kesihatan.

“Keseluruhannya, di HTAR terdapat 143 kes positif membabitkan 62 kakitangan kesihatan dan 81 pesakit manakala di Hospital Serdang terdapat 65 kes keseluruhan melibatkan 37 kakitangan dan 28 pesakit.

“Semua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Sha’ari berkata, keadaan jangkitan COVID-19 di kedua-dua hospital berkenaan adalah terkawal dan sejumlah kakitangan yang tamat menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) telah kembali bertugas.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih menyiasat punca jangkitan berkenaan.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 72 petugas HTAR sedang menjalani perintah HSO kerana jangkitan COVID-19 manakala di Hospital Serdang pula jangkitan itu membabitkan 29 petugas perubatan serta 28 pesakit dengan angka jangkitan di kedua-dua hospital itu terus meningkat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button