Berita Utama

Jumlah individu ingkar arahan PKP meningkat

Masih ramai ambil mudah wabak COVID-19

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Jumlah mereka yang ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu (19 Disember) meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari sebelumnya, menunjukkan masih ramai yang mengambil mudah wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 672 orang ditahan pada Sabtu, berbanding 249 orang yang ditahan pada Jumaat.

Daripada 672 orang yang ditahan itu, 643 telah dikompaun manakala 29 individu lain pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (442), tidak memakai pelitup muka (90), gagal mematuhi penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25),” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan PKP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam berjaya menahan 83 pendatang tanpa izin dan seorang tekong serta merampas tiga kenderaan darat selain melaksanakan 118 sekatan jalan raya.

Beliau berkata, pada Sabtu anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di tujuh tapak binaan di seluruh Malaysia dengan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Ismail Sabri, sejak 20 April hingga semalam 14,007 pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membabitkan 8,000 tapak binaan di seluruh negara.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga 19 Disember seramai 89,479 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua mereka telah ditempatkan di 75 hotel dan 16 institut latihan awam serta institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 8,384 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Seramai 80,563 individu telah dibenarkan pulang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button