Berita Utama

Kes tanah Raub: Jika menang dakwa juga, jangan halau sahaja!

Kita mahukan tanah ini kerana ia maruah yang perlu dipertahankan

BANGI, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Perjuangan melindungi 12,000 ekar tanah daripada diteroka – sama seperti mempertahankan martabat serta maruah bangsa Melayu.

Justeru, kerajaan Pahang dan pemimpin Melayu patut berasa malu sekiranya tanah yang diceroboh pekebun haram di Raub gagal dipertahankan dalam keputusan mahkamah 23 Disember ini.

Ahli Sekretariat Veteran Tentera Bertindak, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, sekiranya kerajaan kalah, maka kesemua tanah itu akan terus diteroka pekebun haram yang telah mengaut untung sejak 40 tahun dahulu.

“Jadi, mana kita nak letak muka? Kita mahukan tanah ini kerana ia adalah martabat dan maruah yang perlu dipertahankan.

“Kita berperang bukan sebab nak ambil tanah, tetapi mahu kuasai tanah kerana itulah martabat kita. Sebab itu Palestin nakkan tanah dia dari Israel,” katanya dalam wawancara di Facebook Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah tidak berpihak kepada kerajaan Pahang, sekretariat veteran bersama PEMBELA menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.

“Dengan adanya RCI, kita mahukan siasatan lebih adil, telus dan menyeluruh sehingga ke akar umbi.

“Kita mahu pihak yang daripada awal sudah bertanggungjawab sejak 40 tahun dulu dalam isu ini,” katanya.

Bagaimanapun, jika keputusan berpihak kepada kerajaan, Mejar Razali mendesak pihak pekebun haram bukan hanya dihalau daripada tanah berkenaan, bahkan didakwa atas kesalahan menceroboh.

“Veteran tentera di Taiping dipenjara dua tahun dan didenda RM50,00, kenapa pekebun yang meneroka lagi besar hanya cukup dihalau keluar tanpa dikenakan tindakan?

“Kita desak mereka dihalau dari tanah itu dan didakwa atas pencerobohan,” katanya.

9 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan tarikh 23 Disember ini untuk keputusan kes pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.

Menurutnya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub dan Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang. 

Ia juga termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button