Berita Utama

Pelik kan? 40 tahun tanah diceroboh langsung tiada tindakan

Penceroboh buat ‘game’ sehingga diberi ruang kemuka afidavit baharu

BANGI, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Tindakan 111 pekebun haram di Raub yang berjaya menyekat notis pengosongan dikeluarkan kerajaan negeri Pahang, sudah membuktikan mereka menang dari sudut moral.

Apatah lagi, apabila perintah pengosongan itu juga ‘berani’ dicabar oleh kumpulan penceroboh di mahkamah.

Situasi itu secara tidak langsung menggambarkan kerajaan negeri Pahang seperti hilang kuasa dalam menangani isu berkenaan, kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat.

“Malah, sejak daripada notis pengosongan dikeluarkan pada Ogos, sehingga perbicaraan pertama pada 28 Oktober, kes masih belum dapat diselesaikan.

“Ia terus dilanjut daripada 28 Oktober, kemudian 9 Disember dan diiberi ruang lagi kemuka afidavit baharu sehingga ditangguh lagi pada 23 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara di Facebook PEMBELA bertajuk ‘Isu kartel ceroboh tanah di Pahang’ malam tadi.

Sebagai NGO yang lantang dalam isu pencerobohan tanah itu, Ustaz Masridzi berkata, PEMBELA mengenal pasti hampir 400,000 ekar tanah daripada lapan daerah di Pahang telah diteroka bagi tujuan pelbagai projek termasuk sawit serta lombong.

Beliau berkata, gerakan itu seperti wujud satu kartel di mana doktrin di belakangnya adalah dalam kalangan ‘tauke’ besar yang ada kaitan dengan ahli politik.

“Kita lihat dari sudut kelemahan undang-undang seperti berlaku ‘double standard ‘ di kalangan penceroboh pribumi.

“Penceroboh ramai sehingga 111 orang, dan 4,400 hektar kalau dibahagi dengan jumlah mereka boleh dapat 100 ekar seorang,” katanya.

Katanya, perbicaraan kes ini sepatutnya sudah boleh diputuskan lebih awal 28 Oktober lalu tanpa sebarang penangguhan.

“Tetapi, penceroboh boleh buat ‘game’ jadi begitu panjang dan mereka diberi lagi ruang sehingga boleh kemukakan pula afidavit baharu.

“Sebab itu kita nak tahu, kerajaan negeri berjuang untuk apa? Patutnya jaga aset negeri. Tak logik, 40 tahun diceroboh langsung tiada tindakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button