Berita Utama

Polis akan kenal pasti 3 anggota LTTE ugut bunuh Ayob Khan

Sedang siasat, turut minta bantuan daripada Polis Selangor

JOHOR BAHRU, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Polis Johor akan bekerjasama dengan Polis Selangor untuk mengenal pasti tiga individu dipercayai anggota kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang didakwa mahu membunuh Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebelum ini, Ayob Khan yang juga Ketua Polis Johor menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon oleh orang awam kepada pegawainya.

Berdasarkan maklumat yang diterima, ugutan dilakukan tiga anggota LTTE warga tempatan yang berada di Selangor.

Beliau berkata, panggilan telefon itu mengatakan ada tiga orang anggota LTTE dari Selangor akan datang ke Johor untuk membunuhnya.

“Maklumat itu diberikan secara terperinci tiga anggota LTTE terbabit berserta alamat rumah mereka.

“Kita tengah buat siasatan dan siasatan sedang dijalankan. Kita juga meminta bantuan daripada Polis Selangor berhubung isu ugutan bunuh ini,” katanya

Bagaimanapun, Ayob Khan tidak mengetahui motif ugutan kerana beliau sudah meninggalkan tugas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak menyandang jawatan Ketua Polis Johor, Februari lalu.

“Saya tidak buat (siasat) isu keganasan lagi selepas itu. Jadi saya tidak pasti mengapa (motif ugutan).

“Mungkin kerana LTTE akan dikeluarkan dari senarai pengganas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), itu juga tidak dapat dipastikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button