Berita Utama

Kecaman SUPP tak gugat perjuangan PEMBELA tolak UEC

Realiti politik hari ini, tidak mahu terima kenyataan sebenar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Safar 1443H, Khamis – Biarpun dianggap kolot dan mencetuskan sentimen perkauman dalam memperjuangkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun realitinya rakyat perlu didedahkan dengan keadaan sebenar serta kesan jangka panjang jika kerajaan mengiktirafnya.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, keadaan semasa langsung tidak menggugat PEMBELA untuk terus berjuang demi masa depan negara.

Sebaliknya akan terus bersemangat meneruskan perjuangan membela untung nasib Islam dan Melayu di tanah air ini.

“Walau apa pun berlaku, PEMBELA tetap perjuangkan kerana ini tanah air kita sendiri, tuduhan yang dilakukan itu sengaja dibuat demi kepentingan politik sendiri yang mahu mengkucar-kacirkan keadaan.

“Inilah realiti tetapi mereka tidak mahu lihat perkara ini dengan jelas dan sengaja memburukkan keadaan lagi.

“Mana mungkin kita boleh iktirafkan UEC sedangkan penggunaan bahasa juga bukan menggunakan bahasa ibunda kita sendiri dan kenapa perlu kita bertuhan negara lain dan bukannya tanah air sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan tuduhan Pengerusi Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Ding Kuong Hiing yang menyifatkan pandangan PEMBELA terhadap UEC sebagai ektrem dan melihat dunia dengan pandangan yang sempit.

Kuong Hiing berkata, 600 buah universiti dan kolej di seluruh dunia sudah mengiktiraf UEC, tetapi dakwanya, PEMBELA masih melihat dunia dengan pandangan yang sempit.

Dalam masa sama, Aminuddin menyifatkan, tuduhan SUPP sebagai realiti situasi politik di negara ini yang tidak mahu menerima kenyataan sebenar.

“Bagaimana mahu bersatu sekiranya perkara-perkara ini pun kita tidak membincangkan dengan sempurna, apabila kita keluarkan keadaan sebenar, mereka pula tuduh kita cetus sentiman perkauman sedangkan ini bukan lagi andaian tetapi realitinya,” ujarnya.

Tambah beliau, pengiktirafan UEC adalah pengkhianatan kepada negara dan berlawanan kehendak raja-raja Melayu kerana bersifat subversi serta meremeh, memperlekeh dan jelas mengesampingkan bahasa kebangsaan terutamanya dalam sistem pendidikan.

Dalam pada itu, Aminuddin menggesa semua pihak supaya lebih memahami kesan buruk mengiktiraf UEC yang akan melunturkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.

“Sudah dipersetujui sebelum ini formula mengukuhkan perpaduan mesti kembali kepada Dasar Pendidikan Negara yang menekan pengunaan bahasa kebangsaan, kurikulum dan sistem peperiksaan yang selaras.

“Pengiktirafan UEC mewujudkan sijil substandard dan dikendali oleh badan yang sejarah awalnya berkiblatkan kuasa asing dan hingga kini tidak selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button