
ALOR SETAR, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Tokoh sejarawan negeri Kedah dan juga bekas pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof meninggal dunia dipercayai kerana sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC).
Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar memberitahu bahawa Wan Shamsuddin, 88, meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang tadi dan jenazah telah dibawa pulang ke kediaman keluarganya di sini dan difahamkan jenazah akan dikebumikan pagi esok.
“Saya amat terkejut apabila menerima berita kematian mantan pengerusi PSMCK ini kerana baru sahaja bersembang dengan Allahyarham ketika berjumpanya baru-baru ini.
Kehilangan Allahyarham ini sangat besar bukan sahaja kepada persatuan tetapi seluruh Kedah kerana diibaratkan seperti khazanah ensiklopedia sejarah berikutan Allahyarham sangat mencintai dunia sejarah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat PSMCK Mohd Faisal Mustaffa menyifatkan Allahyarham yang mesra dengan panggilan ‘Tok Wan’ semasa hayatnya sebagai seorang yang mesra dan mempunyai minat mendalam dalam bidang sejarah. – Bernama