Dunia

Zionis musnah lebih 100,000 pokok zaitun Palestin sejak 2010

Serang, pukul petani kerana dakwa tanam di tanah bawah kawalan Israel

RAMALLAH, 5 Jamadilawal 1442H, Ahad – Bukan hanya menyasarkan rumah, rejim pengganas Israel turut memusnahkan lebih 100,000 pokok zaitun milik Palestin di Tebing Barat sejak tahun 2010.

Menurut Jabatan Dokumentasi Kerosakan Pertanian Palestin, kira-kira 101,988 pokok zaitun telah dicabut, dibakar dan diracun oleh rejim itu sejak 10 tahun lalu.

Pengarah jabatan, Nazeh Fkhaida berkata, kemusnahan terhadap tanaman itu menyebabkan kerugian sebanyak AS$47 juta kepada petani Palestin.

“Serangan penjajah Israel meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini ekoran gesaan pemimpin Yahudi ultra-radikal kepada penyokong mereka untuk mencabut pokok zaitun milik rakyat Palestin,” katanya. 

Fkhaida berkata, lebih daripada 8,400 pokok zaitun milik Palestin musnah dalam serangan Israel setakat tahun ini. 

“2020 adalah tahun paling sukar bagi petani Palestin.

“Serangan rejim turut disasarkan terhadap petani dan sukarelawan NGO Palestin,” katanya. 

Pada Sabtu, beberapa petani Palestin dipukul penjajah Yahudi di kampung Masafer Yatta di selatan Tebing Barat.

Saksi berkata, sekumpulan penjajah Israel menyerang petani dan penternak Palestin di kawasan itu. 

Difahamkan, penjajah Yahudi di bawah perlindungan tentera Israel melarang petani Palestin menanam pokok zaitun di tanah mereka berhampiran Sekolah Tinggi Jalud, kerana mendakwa kononnya tanah itu di bawah kawalan rejim.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button