Berita Utama

3 hari untuk alih, bersih runtuhan bongkah batu

Pengguna hendak ke Bukit Fraser perlu guna laluan alternatif

KUANTAN, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Kerja mengalih dan membersihkan runtuhan bongkah batu di Kilometer 40.70 Jalan Persekutuan ke Bukit Fraser melalui Raub, kira-kira 165km dari sini, awal pagi tadi dijangka mengambil masa selama tiga hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata ini ekoran saiz bongkah batu yang besar selain kerja tersebut perlu dilakukan dengan penuh cermat bagi mengelakkan kejadian runtuhan susulan.

“Setakat petang ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub telah mengarahkan pihak konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd menghantar dua jentera pengorek kaut ke lokasi kejadian.

“Penilaian sedang dibuat untuk mengalihkan bongkah batu itu dengan menggunakan jentera berat yang bersesuaian,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norolazali berkata, pengguna yang hendak ke Bukit Fraser buat masa ini, dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Kuala Kubu Bharu, Selangor sehingga jalan itu dibuka semula apabila keadaan benar-benar selamat.

Beliau juga memaklumkan kejadian runtuhan bongkah batu itu merupakan kejadian kedua di lokasi sama, dengan kejadian runtuhan pertama berlaku pada Sabtu lalu, melibatkan pokok tumbang dan tanah runtuh.

“Bagaimanapun laluan itu kembali dibuka pada hari yang sama selepas kerja pembersihan dilakukan dan pemasangan tanda amaran serta makluman dilakukan selepas kerja pembersihan tamat.

“Runtuhan bongkah batu yang berlaku pada 5.50 pagi tadi bagaimanapun menyebabkan jalan itu perlu ditutup kepada semua kenderaan kerana runtuhan menghalang laluan sepenuhnya selain atas faktor keselamatan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button