Berita Utama

Tiga TPM jika BN dominasi PRU15

Pendekatan baharu dimasukkan dalam manifesto Sabah

BANGI, 26 Rabiulawal 1444H, Ahad – Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan baharu dengan mengesyorkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.

Jawatan kedua tertinggi kerajaan itu dicadang diisi oleh wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, jika BN mendominasi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan melantik tiga TPM tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Beliau mengambil contoh bahawa terdapat negara jiran yang melantik enam Timbalan Perdana Menteri.

“Ini adalah pendekatan baharu yang dicadangkan oleh BN agar BN di Sabah, GPS (Sarawak) dan BN di Semenanjung dapat masukkan sebagai manifesto.

“Saya yakin PM akan terima cadangan ini kerana jawatan TPM tiada dalam Perlembagaan. Sebab itu tiada jawatan TPM, yang ada menteri kanan,” katanya seperti dilapor Astro Awani, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mencadangkan agar BN Sabah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya peruntukan-peruntukan yang selama ini disalurkan kepada kementerian, diberikan terus kepada kerajaan negeri melalui agensi dan jabatan.

Jelasnya, langkah itu bagi memudahkan pelaksanaan peruntukan di peringkat kerajaan negeri.

“Tentunya ini satu pendekatan yang bagi hemah saya boleh dilaksanakan apatah lagi setelah pindaan Perlembagaan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah.

“…dan tentunya mekanisme ini dapat dilakukan bila BN dominan untuk menjadi kerajaan di Putrajaya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button