Banjir di Kemaman: Harap pembinaan sungai tiruan dipercepatkan
Keadaan bertambah buruk sekiranya berlaku air pasang

KEMAMAN, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Kerajaan negeri berharap proses membina sungai tiruan di Kemaman dapat dipercepatkan bagi mengurangkan impak banjir kepada penduduk di sekitar kawasan Bandar Baru Bukit Mentok, Pengkalan Pandan dan Binjai di sini pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri ,Hanafiah Mat berkata, idea membina sungai tiruan itu timbul susulan banjir besar yang melanda Kemaman pada 2013 dan 2014.
“Saya difahamkan Jabatan Alam Sekitar telah pun memberi kelulusan EIA (Laporan Impak Alam Sekitar) untuk projek tersebut.
“Apabila siap kelak, ia dapat menampung limpahan air sungai dari kawasan hulu Kemaman sekali gus meminimumkan risiko banjir terhadap kawasan penempatan penduduk berhampiran bandar Chukai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat penduduk Kampung Paya Berenjut di sini semalam.
Apabila taburan hujan terlalu lebat, aliran air di dua sungai di Hulu Kemaman akan bertembung di sungai utama dekat Kampung Paman menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.
Keadaan bertambah buruk sekiranya berlaku air pasang menyebabkan aliran sungai tidak dapat mengalir lancar ke laut.
Justeru, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berharap pembinaan sungai tiruan itu dapat disegerakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran demi mengurangkan kerugian impak banjir pada masa akan datang.
Ditanya mengenai nasib lebih 1,500 penduduk di Perumahan Rakyat Teluk Kalong yang turut terjejas banjir pula, Hanafiah berkata beliau telah memohon peruntukan sebanyak RM1.6 juta daripada Jabatan Kerja Raya untuk membina empat saliran air baharu di kawasan tersebut.
“Ia akan mempercepatkan aliran keluar air yang bertakung setiap kali hujan lebat berlaku pada masa akan datang. Ini adalah langkah penyelesaian jangka masa pendek yang perlu dilakukan untuk memastikan masalah banjir tidak berlaku lagi di perumahan tersebut,” katanya. – Bernama