Berita Utama

Bekalan elektrik tak dipotong jika tertunggak kurang 6 bulan

Bincang dengan TNB, SESB jika tunggakan lebih dari tempoh ditetapkan

PUTRAJAYA, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Bekalan elektrik pelanggan kediaman tidak akan dipotong jika bil tertunggak selama kurang enam bulan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata demikian selepas dua penyedia tenaga negara ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mencapai hasil rundingan demgan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, baru-baru ini.

Katanya, inisiatif khas ini hanya melibatkan pengguna yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak kira berapa amaun bil mereka.

“Katakanlah terlewat bayar hampir enam bulan setakat bil semasa bulan ini, maka TNB dan SESB tidak akan buat pemotongan bermula 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan,” katanya.

Sebaliknya, pengguna terbabit akan diberi kemudahan pembayaran bil secara ansuran selama tempoh enam bulan yang turut bermula 1 Januari hingga 30 Jun depan.

Manakala bagi pengguna kediaman yang mempunyai tunggakan lebih daripada tempoh enam bulan diminta berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk mengelakkan pemotongan.

“Mereka mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberi pelan pembayaran ansuran tertentu mengikut kes kerana setiap pengguna domestik berbeza masalahnya,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 7.4 juta pengguna domestik iaitu masing-masing 6.94 juta di Semenanjung dan lebih 500,000 pengguna domestik di Sabah.

“Ia mengambil kira keperluan bagi membantu rakyat dalam suasana ekonomi mencabar berikutan impak berpanjangan pandemik COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button