Berita Utama

Bukan saja Raub, hampir seluruh tanah Pahang mungkin diceroboh!

Seolah-olah ada satu gerakan dari bawah ke atas seperti kartel

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Penangguhan sebanyak dua kali keputusan kes pencerobohan tanah di Raub, menandakan hanya penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sahaja yang boleh menjadi penyelesaian isu berkenaan. 

Ini kerana, selagi dikendalikan oleh ahli politik mahupun penguatkuasa, tidak mustahil ia menemui jalan buntu. 

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat mengakui pihaknya tidak mengharapkan penyelesaian yang baik jika kes pencerobohan di Pahang masih diurus oleh golongan politik.

Keadaan itu jelas apabila kerajaan negeri gagal menangani 111 pekebun haram di Raub sehingga mereka boleh mencabar notis pengosongan yang dikeluarkan pada Ogos lalu.

“Penguatkuasa kita pula dicabar macam budak-budak oleh kumpulan penceroboh itu, bila mereka dapat menyekat perintah pengosongan.

“Malah, sepatutnya juga kes dah selesai pada 28 Oktober lalu pada perbicaraan pertama, tetapi tangguh 9 Disember dan malangnya ada lagi afidavit masuk sehingga ditangguh kepada Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media penyerahan dua memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan dan penubuhan RCI di Istana Negara, pagi ini.

Ustaz Masridzi berkata, risikan pihaknya mendapati bahawa isu pencerobohan tanah bukan hanya berlaku di daerah Raub, bahkan hampir seluruh negeri Pahang yang dianggarkan ratusan ribu ekar.

“Ia seolah-olah ada satu gerakan dari bawah ke atas iaitu seperti kartel. Sekarang bukan lagi zaman tingkatkan integriti, tetapi inilah masa kita nak lihat ketelusan dalam ketegasan mempertahankan tanah yang diceroboh.

“Di Perak, dua ekar tanah saja diceroboh seorang veteran tentera sudah dipenjara dua tahun dan didenda sehingga RM50,000.

“Di Pahang, 4,4000 hektar tanah yang diceroboh boleh lagi ‘game’ perundangan. Tak mustahil gelombang seperti ICERD berulang di negeri Pahang,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button