Berita Utama

DAP, PAN percaya cara tumbangkan PN dengan pembentukan pakatan besar?

Demi status ‘big brother’, UMNO terus beri tekanan pada kepimpinan PN

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Parti DAP dan PAN seperti yakin kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditumbangkan melalui pembentukan satu pakatan besar. 

Berkemungkinan pakatan dimaksudkan adalah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang lain seperti Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pejuang dan Muda. 

Pun begitu, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, dalam isu ini, DAP dan PAN tidak menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi berpendapat bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu membuka ruang kerjasama yang lebih meluas di kalangan parti-parti pembangkang.

“Mereka merasakan peluang untuk menewaskan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang tidak mungkin dicapai hanya berdasarkan kerjasama antara DAP, PKR dan Amanah semata-mata, tetapi dengan kerjasama yang lebih besar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net. 

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu berkata, PH perlu menghadapi hakikat pembangkang memerlukan anjakan politik baru, susulan kegagalan mereka menghalang Belanjawan persekutuan diluluskan.

Mereka juga menggesa Pakatan Harapan berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional ‘oportunis’ yang memperalatkan mereka.

Mengulas perkara itu, Dr Mazlan berkata, ia dipercayai ditujukan kepada Ahli Parlimen UMNO.

“Ia berkaitan dengan dakwaan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang kononnya dikatakan akan menyokong pembangkang untuk menumbangkan kerajaan PN, tetapi tidak menjadi kenyataan. 

“Inilah dikatakan oleh Mohammad Sabu dan Guan Eng, sebab janji UMNO ini (menyokong pembangkang) bukan sekali, tetapi beberapa kali, tetapi tidak menjadi kenyataan kerana mereka yang didakwa akan menyokong itu sebenarnya adalah oportunis politik,” katanya.

Mengulas mengenai UMNO pula, katanya parti itu dilihat sedang merancang untuk mengembalikan status mereka sebagai ‘big brother’ dan mahu menguasai semula arena politik. 

Bagaimanapun, parti Melayu itu kini berdepan dengan parti Bersatu yang semakin kukuh pengaruhnya, ekoran kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semakin diterima rakyat, kata 

Beliau percaya, UMNO berusaha menekan Muhyiddin melalui tindakan-tindakannya yang dilihat seperti menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan yang terbaru menjatuhkan Menteri Besar di Perak.

“PH pula dilihat digunakan beberapa ahli politik kerajaan yang sebenarnya mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan seterusnya membuka jalan untuk pilihan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button