Berita Utama

Grand Final Gala Night hanya undang gejala sosial

Seolah merelakan wanita Malaysia dijadikan objek perhiasan di pentas

BANGI, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Bukan sahaja tiada faedah yang diperoleh, bahkan hanya mengundang gejala sosial sekiranya Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 diteruskan.

Atas dasar itu, kerajaan digesa membatalkan penganjuran berkenaan yang dijadual berlangsung 2 Januari depan.

Tindakan itu wajar kerana bertentangan dengan usaha pihak kerajaan yang sentiasa membina masyarakat yang berakhlak dan mempunyai adab terpuji.

Ketua Muslimat PAS, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, penganjuran pertandingan ratu cantik merupakan satu acara yang mengeksploitasi kecantikan wanita demi menarik perhatian umum.

Sehubungan itu, secara tidak lansung penganjuran acara berkenaan seolah-olah merelakan wanita Malaysia dijadikan objek perhiasan di pentas.

“Umum mengetahui tiada faedah yang diperolehi melalui penganjuran aktiviti sedemikian. Malahan ia mengundang gejala sosial yang seharusnya kita elakkan.

“Kecantikan kurniaan Allah haruslah digunakan sebaiknya untuk manfaat manusia sejagat bukan dipertandingkan.

“Sesungguhnya kecantikan kurniaan Allah merupakan anugerah yang harus dijaga dan pelihara bukan dijadikan objek pertandingan. Wanita bukan piala yang diukir dan dipamerkan buat tatapan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, dalam keadaan penyakit COVID-19 yang masih belum surut peningkatan jangkitan, program yang menghimpunkan ramai orang juga sebolehnya dielakkan walaupun penganjur berjanji melaksanakan prosedur operasi standard (SOP).

“Justeru, kita mengharapkan kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan untuk membatalkan penganjuran itu demi memberi signal kepada masyarakat untuk tidak lagi menganjurkan pertandingan seperti ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button