Berita Utama

Kartel daging import: SPRM Johor buka kertas siasatan

Semua pihak diminta tampil beri maklumat bantu siasatan

JOHOR BAHRU, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import seperti yang tular di media baru-baru ini.

Menurut sumber SPRM, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Fokus siasatan ialah terhadap isu pemalsuan borang Kastam K1 iaitu pengisytiharan barangan import serta amalan rasuah dalam kalangan agensi-agensi terlibat.

“Kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan kastam telah diperoleh,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan siasatan itu dan meminta semua pihak untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, membincangkan isu berkenaan di media massa akan menyukarkan siasatan pihak SPRM justeru pihak yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

“SPRM memandang serius perkara ini kerana ianya melibatkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Pada awal bulan ini, pihak MAQIS telah menyerbu sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku di Senai, di sini, kerana dipercayai menyeludup daging sejuk beku dan membuat label cap palsu halal sebelum mengedarkan daging-daging berkenaan ke seluruh Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button