Berita UtamaIstimewa

Kebun haram: PEMBELA, veteran tentera serah memorandum di Istana Negara

Mohon Agong campur tangan, tubuhkan RCI pastikan kes disiasat secara telus

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama Sekretariat Veteran Tentera Bertindak hari ini menyerahkan dua memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan berhubung kes pencerobohan tanah di negeri Pahang.

Penyerahan memorandum itu juga memohon supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan memastikan ketelusan dalam kes-kes pencerobohan di seluruh negeri berkenaan.

Memorandum diserahkan oleh Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat bersama wakil veteran tentera, Azizan Salleh dan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah kepada pegawai Istana Negara, sebentar tadi.

Selain di Istana Negara, penyerahan secara serentak turut dilakukan di Istana Sultan Abu Bakar, Pahang oleh wakil PEMBELA dan veteran tenteran negeri.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Ustaz Masridzi dimaklumkan oleh pegawai khas Istana Negara bahawa Seri Paduka Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah mengambil maklum mengenai isu itu.

“Justeru, kami merafak sembah memohon Seri Paduka Tuanku menubuhkan RCI dalam kes pencerobohan tanah di Pahang.

“Kehadiran kami bukan sengaja mahu menyerahkan memorandum, tetapi PEMBELA bersam ratusan NGO adalah mewakili suara rakyat,” katanya dalam sidang media di hadapan Istana Negara, hari ini.

9 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan tarikh 23 Disember ini untuk keputusan kes pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.

Menurutnya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub dan Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang. 

Ia juga termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button