Berita Utama

Lebih 9,000 mangsa terjejas, banjir di Pantai Timur makin buruk

Sungai Golok di Kelantan catatkan bacaan melepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Situasi banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 pagi ini melebihi 9,000 orang melibatkan lebih 3,000 keluarga.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa terus meningkat kepada 7,780 orang daripada 1,822 keluarga setakat 8 pagi berbanding 7,403 orang daripada 1,786 keluarga pada 4 petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata bagaimanapun, peningkatan itu tidak terlalu membimbangkan kerana penduduk yang dipindahkan disebabkan rumah mereka dinaiki air berikutan air pasang awal pagi tadi.

Beliau berkata ketika ini, terdapat 53 PPS di empat daerah iaitu 31 di Kemaman, Dungun (18), Hulu Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).

“Daerah Kemaman yang paling teruk terjejas terus merekodkan pertambahan jumlah mangsa kepada 6,865 orang daripada 1,570 keluarga, berbanding 6,623 orang daripada 1,552 keluarga petang semalam, manakala jumlah mangsa di Dungun bertambah kepada 807 orang daripada 226 keluarga berbanding 663 orang daripada 186 keluarga sebelum ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

 Bagaimanapun, banjir di Hulu Terengganu bertambah baik apabila jumlah mangsa menunjukkan penurunan kepada 97 orang daripada 23 keluarga, berbanding 106 orang daripada 25 keluarga petang semalam manakala di Setiu pula, mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my, dua sungai di dua daerah negeri itu masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi dengan Sungai Kemaman di Kampung Paman, Kemaman setinggi 5.38 meter (m) mengatasi paras bahaya 4.5 m manakala Sungai Dungun di Kuala Jengal, Dungun mencatatkan paras 21.03 m melebihi paras bahaya 21 m.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga jajahan di negeri itu terus meningkat kepada 1,382 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,214 orang petang semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas merupakan daerah paling terjejas dengan jumlah penduduk yang dipindahkan seramai 1,085 orang daripada 410 keluarga yang ditempatkan di 14 lokasi PPS. 

Di Tanah Merah, seramai 143 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di lima PPS manakala di Kuala Krai sebanyak lima PPS masih dibuka setakat ini bagi menempatkan 153 mangsa banjir daripada 43 keluarga termasuk seorang kurang upaya (OKU) lelaki dan dua OKU perempuan.

 Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat ini hanya Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 10.34 m (bahaya 9 m) berbanding tiga sungai yang melepasi paras bahaya pada petang semalam.

Tiga sungai lagi merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat 2.47 m (amaran 2.15 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 15.49 m (amaran 14.00 m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 24.21 m (amaran 22.50 m).

Selain itu, sungai di tiga lokasi di negeri itu menunjukkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Jenob Tanah Merah 22.44 m (waspada 21.50 m), Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.84 m (waspada 3.00 m) dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai 32.98 m (waspada 32.00 m). 

Sementara itu, PAHANG merekodkan sebanyak 38 orang daripada enam keluarga terjejas banjir sejak semalam dan mereka ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Dewan Orang Ramai Sungai Ular, Kuantan (25 orang daripada enam keluarga) dan PPS Sekolah Kebangsaan Teh, Jerantut (13 mangsa daripada dua keluarga). 

Menurut portal Info Bencana JKM Pahang, tujuh sungai masih berada di paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, tiga kawasan di Sungai Pahang iaitu Sungai Yap di Jerantut; Lubuk Pasu, Temerloh dan Lubuk Paku, Maran, serta beberapa sungai di Kuantan iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Belat, Sri Damai dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button