Berita Utama

30 individu dikenal pasti terlibat himpunan ‘Turun Malaysia’: Polis

500 peserta dihalang berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka

BANGI, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Polis telah mengenal pasti kira-kira 30 individu yang terlibat dalam protes kenaikan harga barang ‘Turun Malaysia’ yang berlangsung berhampiran pusat beli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman, hari ini.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Hasil pemerhatian dilakukan kira-kira 500 individu termasuk mahasiswa dan ahli politik berhimpun sambil memegang plakad bertulis ‘potong gaji menteri’, ‘turun dan lawan’ serta lain-lain.

“Setakat ini seramai 30 individu sudah dikenal pasti dan mereka akan dipanggil ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan menambah, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan berkenaan dipercayai bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

Antara pemimpin yang hadir Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.

Peserta mengulangi lima tuntutan mereka terhadap kerajaan iaitu menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri, bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat, mengekalkan subsidi serta tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi lain.

Mereka juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan, makanan di kafeteria termasuk vendor di dalam universiti kerana berlaku peningkatan harga mendadak.

Selain itu, mereka juga menuntut kerajaan menyelesaikan masalah jaminan keselamatan makanan.

Terdahulu, kira-kira 500 peserta dihalang daripada berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.

Hampir 50 anggota polis berada di lokasi demi memastikan himpunan berlangsung aman dengan peserta mendesak tuntutan mereka dipenuhi kerajaan.

Sehubungan itu, Noor Dellhan turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan melanggar undang-undang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terlibat mengikut undang-undang masih berkuat kuasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button