Berita UtamaDunia

Syarikat Arab Saudi, UAE didakwa godam telefon wartawan di Qatar

Guna perisian dari Israel, teknik sifar-klik terhadap staf Al Jazeera

DOHA, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Syarikat berkaitan dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa menggodam telefon puluhan wartawan Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar, menggunakan perisian intip (spyware) Israel.

Penyelidik di Citizen Lab di University of Toronto mendedahkan, pada bulan Julai dan Ogos, sekurang-kurangnya empat syarikat operasi menggunakan perisian intip Pegasus Kumpulan NSO dari Israel menggodam 36 telefon peribadi wartawan, eksekutif, pembaca berita dan penerbit.

Menurut laporan itu, salah satu daripada empat pengendali Pegasus, bertindak bagi pihak pemerintah Arab Saudi, menggodam 18 telefon, sementara operator lain yang dipercayai bertindak atas nama UAE, mengintip 15 telefon.

“Teknik sifar-klik yang digunakan terhadap staf Al Jazeera adalah canggih, sukar dikesan, dan sebahagian besarnya tertumpu pada telefon bimbit peribadi pemberita,” kata laporan itu.

Usaha penggodaman itu ditemui setelah seorang wartawan penyiasat terkenal untuk rangkaian Arab Al Jazeera, Tamer Almisshal meragui, telefonnya telah digodam selepas dia membenarkan Citizen Lab memantau iPhone-nya.

Dia mendapati bahawa pada bulan Julai, telefonnya – tanpa pengetahuannya – telah mengunjungi satu laman web yang digunakan untuk menjangkiti peranti peribadinya itu menggunakan perisian intip Pegasus.

Penyiar TV Al Jazeera yang terkenal, Ghada Oueiss mendakwa penguasa Arab Saudi dan UAE menggodam telefonnya, mencuri dan mendokumentasikan gambar untuk merosakkan kariernya dalam bidang kewartawanan.

The Citizen Lab juga mengatakan bahawa telefon peribadi penyampai yang berpangkalan di London untuk rangkaian Al Araby Qatar, Rania Dridi, telah digodam enam kali dengan perisian intip antara Oktober 2019 dan Julai 2020.

Bercakap kepada Guardian, Rani mengakui terkejut dan memberitahi dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap UAE.

Laporan operasi penggodaman terhadap telefon wartawan muncul ketika Arab Saudi dan UAE menggesa penutupan Al Jazeera – kononnya bimbang mengenai liputan selepas bermulanya krisis diplomatik dengan Qatar pada tahun 2017.

Pada bulan Jun 2017, Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan UAE memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar dan mengenakan sekatan udara, darat dan laut ke negara kaya tenaga itu.

Pakatan yang dipimpin Arab Saudi menuduh Doha menyokong keganasan, memberikan senarai tuntutan yang termasuk menutup Al Jazeera. 

Qatar, bagaimanapun, menolak tuduhan keganasan dan menolak untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh blok empat negara itu, dengan menekankan bahawa negara itu tidak akan meninggalkan dasar luar bebasnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button