Dunia

Thailand saring lebih 10,000 individu dalam tiga hari

Penjual udang di pasar, tiada sejarah perjalanan ke luar negara diuji positif

BANGKOK, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Thailand akan menguji lebih 10,000 orang dalam tempoh tiga hari akan datang selepas mencatatkan peningkatan kes COVID-19 pada Sabtu, yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di Samut Sakhon.

Setakat ini, sejumlah 689 kes COVID-19 mempunyai kaitan dengan penjual udang di wilayah barat daya Samut Sakhon termasuk dua kes di Bangkok, dua di Nakhon Pathom dan tiga di Samut Prakan, menurut Kementerian Kesihatan Awam.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata, pihak berkuasa kesihatan itu akan menjalankan 10,300 ujian di lapan wilayah bermula hari ini sehingga Rabu.

“Usaha pengesanan kes aktif COVID-19 akan diteruskan di Samut Sakhon, di mana wabak ini berlaku dan di wilayah berhampiran seperti Samut Songkram, Nakhon Pathom, Ratchaburi, Phetchaburi dan Kanchanaburi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada sidang media berasingan, Timbalan Gabenor Samut Sakhon, Surasak Polyangsong berkata 146 pekerja asing diuji positif COVID-19 pada Ahad.

Pada 16 Disember, seorang wanita berusia 67 tahun, yang merupakan penjual udang di pasar itu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, telah diuji positif.

Berikutan lonjakan kes COVID-19, perintah berkurung dilaksanakan di Samut Sakhon dari 10 malam hingga 5 pagi.

Semua sekolah, stadium sukan, stadium tinju, taska dan salun kecantikan antara yang ditutup dan hanya operasi makanan berbungkus sahaja dibenarkan.

Selain itu, pekerja asing tidak dibenarkan meninggalkan Samut Sakhon manakala warga Thailand dibenarkan keluar hanya selepas memaklumkan kepada pihak berkuasa nama dan destinasi mereka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button