Berita Utama

Timbalan Pengerusi MCA Melaka antara dua Senator angkat sumpah

Para senator diingatkan jalankan tugas mengatasi kepentingan parti

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Dua Ahli Dewan Negara hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mereka ialah Datuk Wira Koh Nai Kwong yang merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian pula adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Koh, 59, adalah bekas Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Pengerusi MCA Melaka manakala Jaziri, 42, adalah Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak.

Kedua-duanya mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara di sini.

Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan itu mahu Koh dan Jaziri menterjemahkan pengalaman serta profesionalisme masing-masing bukan sahaja ketika sesi persidangan malah meliputi semua aspek bersesuaian dengan kedudukan Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara.

“Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, tanggungjawab sebagai Ahli Senat mesti dilunaskan sebaik mungkin.

“Jalur pemikiran hendaklah diketengahkan secara tuntas, berwibawa serta intelektual mewakili semua suara kelompok rakyat sama ada negeri, kumpulan minoriti termasuk Orang Asli mahupun badan bukan kerajaan (NGO) tanpa ada yang tercicir,” katanya.

Rais turut memaklumkan mengenai peranan Jawatankuasa Bersama Kesejahteraan Rakyat yang ditubuhkan pada 10 Disember lepas sebagai peringatan kepada para senator untuk menjalankan tugas mengatasi kepentingan parti.

“Jawatankuasa menjadi medan penggemblengan idea, tenaga dan kepakaran bagi memastikan kebajikan rakyat yang hubung kaitnya menyentuh soal kepentingan negara dapat dilunaskan,” kata Rais.

Justeru, Rais mengalu-alukan semua ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara untuk menjadikan jawatankuasa itu sebagai platform membincangkan pelbagai isu mengenai kepentingan rakyat.

“Besarlah harapan agar isu-isu berkepentingan rakyat disambut oleh semua Ahli Yang Berhormat, bukan sahaja dalam sesi perbahasan di Dewan, tetapi juga disalurkan sama melalui jawatankuasa ini kelak,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button