Berita Utama

Tunggu penjelasan JAINJ isu perkahwinan Illi Najwa: Menteri Agama

Politikkan isu sensitiviti agama adalah perbuatan tak matang

BANGI, 6 Jamadilawal 1442H, Isnin – Semua pihak diminta bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berkuasa agama negeri berhubung isu perkahwinan wanita dari Johor, Illi Najwa Saddique yang berkahwin dengan kapten pasukan hoki negara India, Manpreet Singh Pawar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang muslim, perlu sedaya upaya memastikan muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama.

Dr Zulkifli turut menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita yang disebarkan.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johar (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam.

“lni menzahirkan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata.

“Marilah sama-sama kita berdoa kepada pasangan tersebut semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang baik serta zuriat yang soleh dan solehah,” katanya.

Rabu lalu, Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique.

Rakaman video majlis resepsi perkahwinan mereka kemudian tular di media sosial dengan memaparkan Manpreet mengenakan sut perkahwinan Punjabi.

Manakala Illi Najwa memakai pakaian pengantin wanita Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Dalam majlis itu, Illi Najwa dan suaminya kelihatan melakukan perbuatan yang mencetuskan pelbagai persoalan hingga status agamanya.

Menurut laporan media tempatan, Illi Najwa mengaku apa yang berlaku atas salah dan kejahilan dia dan suaminya.

Malah, dia turut memohon maaf kepada keluarganya yang diheret sama dalam isu itu.

Bagaimanapun, wanita itu mengesahkan suaminya sudah memeluk Islam sejak akhir tahun lalu dan mereka melangsungkan pernikahan pada 16 Disember lalu dalam majlis tertutup.

Katanya, sijil nikahnya akan diperoleh pada Rabu depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button