Berita UtamaIstimewa

Grand Final Gala Night rendah martabat wanita

Masyarakat tuju kemajuan tak perlu program sebegini: Ketua Wanita ISMA

BANGI, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020, yang akan diadakan pada 2 Januari depan, hanyalah satu bentuk eksploitasi terhadap wanita ‘plus size’.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi menegaskan, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan program seperti itu kerana ia hanya merendahkan martabat dan keistimewaan wanita. 

“Jangan tertipu dengan ‘mission statement’ yang melabelkan pertandingan ratu cantik sebegini sebagai memartabatkan sumbangan kemasyarakatan, kepimpinan dan sebagainya, sedangkan itu hanya menjadi sebahagian kecil sahaja perkara yang dinilai.

“Program ratu cantik ini tetap menjadikan dan memperagakan ‘kecantikan’ wanita itu sebagai ukuran utama, dan ini sendiri bercanggah dengan apa yang mereka katakan sebagai memperkasakan wanita atau ‘women empowerment’,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Suriani berkata, sudah tiba masanya untuk wanita sendiri membantah program sebegini dengan memboikot penganjurannya dan tidak mendaftar sebagai peserta. 

“Jika kita berkebolehan dan memberi banyak sumbangan kepada masyarakat, kemudian ada nilai kepimpinan yang baik, maka kenapa kita membenarkan orang lain ‘merendahkan’ pula potensi kita kepada ukuran kecantikan?,” soalnya lagi.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kementerian agama menggunakan kuasa yang ada untuk memastikan ia tidak akan dijalankan. 

Malah, katanya lagi, perlu ada undang-undang yang jelas membantah program-program eksploitasi wanita sebegini. 

“Terdapat pelbagai program yang seperti ini, baik berbentuk pertandingan, pengiklanan produk perniagaan mahupun eksploitasi media. 

“Sebagai masyarakat yang menuju kemajuan, undang-undang ini penting agar masyarakat kita tidak menjadi mangsa pihak berkepentingan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button