Berita Utama

Kartel daging haram: Ratusan ribu pengguna ditipu sejak 40 tahun dulu?

Berjaya masuk pasaran kerana ‘rasuah’ pegawai kanan 4 agensi kerajaan

BANGI, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tak mustahil sudah lebih puluhan atau ratusan ribu pengguna menjadi mangsa penipuan kartel yang menyeludup daging sejuk beku import ke dalam pasaran negara sejak 40 tahun lalu.

Sebelum ini, media mendedahkan kegiatan kartel daging yang memberi rasuah kepada pegawai sekurang-kurangnya daripada empat agensi kerajaan bagi membolehkan daging tidak halal dibawa masuk ke negara ini sejak 40 tahun lalu.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin kesal apabila isu itu didedahkan setelah puluhan tahun berlaku angkara pengkhianat dan penipu.

“Buat sekian lamanya, wujud kartel perniagaan haram yang mengimport daging yang tidak halal tetapi menjualnya sebagai daging halal di pasaran tempatan sejak 40 tahun lalu.

“Kartel ini berjaya melepasi pelbagai tapisan saringan kerana mereka telah membeli (merasuah) pegawai-pegawai kanan daripada sekurang-kurangnya empat agensi kerajaan.

“Entah berapa puluh atau ratusan ribu orang ramai yang telah ditipu bulat-bulat oleh para penipu dan pengkhianat sejak puluhan tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, BH melaporkan kartel berkenaan menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Difahamkan, modal perniagaan setiap syarikat terbabit antara RM200,000 hingga RM300,000. 

Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button