Berita Utama

Kebun haram: PEMBELA, NGO bersuara bukan mahu campur urusan kerajaan

‘Pejuang muncul jika tanah air diceroboh, bangsa dibangsatkan di bumi sendiri’

BANGI, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Kelantangan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam isu pencerobohan tanah di Pahang bukanlah kerana mahu menganggu mana-mana pihak.

Apatah lagi, ingin campur tangan dalam urusan kerajaan negeri atau mempunyai kepentingan tertentu, kata Naib Pengerusinya, Ustaz Masridzi Sat.

Katanya, perjuangan mempertahankan 4,400 hektar tanah yang diceroboh dan beberapa kawasan lain di negeri Pahang hanyalah demi melindungi tanah air serta bangsa yang ‘dibangsatkan’ di bumi sendiri.

“Jika tanah air kami diceroboh, diambang bahaya, bangsa kami dipermainkan, penjajah beraja di mata bersultan dihati dan pengkhianat berleluasa, justeru pejuang dahulu seperti Mat Kilau dan Tok Gajah akan muncul.

“Mereka bukan nakkan projek, habuan dunia, jawatan dan harta. Mereka berkorban nyawa, tenaga dan wang kerana mereka datang dari panggilan iman,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau menggesa rakyat bersama menyokong perjuangan mempertahankan tanah itu, sekali gus mengharapkan kemenangan berpihak kepada kerajaan negeri.

Keputusan kes pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan di Raub, Pahang bakal diketahui esok selepas ditangguhkan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 9 Disember.

Penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.

Menurutnya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub dan Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang. 

Ia juga termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button